Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Amirudin Shari meninjau kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Bukit Antarabangsa, Ukay Perdana pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri pantau kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Kerajaan Negeri akan memantau lokasi berisiko berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa, di sini, dari semasa ke semasa bagi mengelak insiden berkenaan berulang dan menjejaskan penduduk setempat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insiden tanah runtuh pernah berlaku di kawasan tersebut antaranya pada 2008 dan tahun lepas.

“Kawasan ini sedia maklum memang agak tidak kukuh, tapi sebahagian rumah telah dibuat sejak 80-an, jadi apa yang dibuat Kerajaan Negeri kita akan pantau dari semasa ke semasa untuk elak kejadian begini berlaku atau bencana lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, di sini, hari ini yang menjejaskan tujuh rumah melibatkan kira-kira 40 penghuni.

Pada Disember tahun lepas, sebuah banglo di taman itu diarah untuk dirobohkan susulan berlaku pergerakan tanah yang serius dan penghuni rumah terbabit serta dua rumah berhampiran turut diarah dikosongkan serta-merta.

Amirudin berkata Jabatan Pengairan dan Saliran akan membaik pulih Sungai Sering dan anak sungai itu yang tersumbat bagi mengelakkan berlakunya banjir.

“Projek ini sedang berlangsung tapi sebab Perintah Kawalan Pergerakan kita tidak dapat teruskan…Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan membawa hal ini ke Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Khamis depan,” katanya.

Kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Bukit Antarabangsa, Ukay Perdana dipasang pita kuning di sekitar kawasan yang terjejas pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengulas mengenai kebajikan penduduk yang terjejas susulan kejadian tanah runtuh hari ini, beliau berkata mereka akan dipindahkan ke hotel berdekatan selama tujuh hari.

“Kerajaan negeri akan membantu seadanya mangsa yang terjejas dan dianggarkan proses baik pulih akan memakan masa selama enam bulan…itu jangka masa lama dan MPAJ akan melakukannya dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pada sidang media sama berkata kerajaan negeri mungkin perlu menambah peruntukan menambah baik aliran Sungai Sering dan anak sungai itu yang sebelum ini telah menerima peruntukan RM100,000.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang turut meminta wakil penduduk di kawasan berkenaan supaya berwaspada dengan memantau keadaan cerun di kediaman sekitar mereka terutama apabila hujan.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPAJ Datuk Abd Hamid Hussain berkata tembok penahan setinggi empat meter dengan kepanjangan 70 meter akan dibina untuk membaik pulih cerun yang terjejas.

– BERNAMA


Pengarang :