Seorang pengunjung mengambil peluang membeli-belah setelah kerajaan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi semula pada 4 Mei 2020 mengikut SOP ketat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM pertimbang buka sektor pendidikan jika kes harian kekal rendah

SHAH ALAM, 28 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertimbangkan pembukaan lebih banyak sektor termasuk pendidikan jika kes Covid-19 turun kepada satu digit, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata keputusan tersebut bergantung kepada kes harian dalam tempoh dua minggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diteruskan atau kita menukar strategi pencegahan Covid-19 akan diputuskan pada 9 Jun depan.

“Jika kes harian kekal dua digit dan seterusnya turun kepada satu digit, KKM bersedia menasihat kerajaan untuk membuka lebih banyak sektor sosial dan pendidikan,” katanya pada sidang media di Putrajaya
hari ini.

Dr Noor Hisham berkata PKPB yang dikuat kuasa bermula 4 Mei lalu bertujuan membuka semula sektor ekonomi negara secara berhati-hati bagi mengawal penularan Covid-19.

“PKPB dilaksana selepas mengambil kira pandangan dan pertimbangan terhadap aspek kesihatan, keselamatan serta kualiti hidup orang awam,” katanya.

Malaysia merekodkan 10 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini iaitu terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.


Pengarang :