AGAMAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS: RM4 juta zakat fitrah ditunai dalam talian, sambutan hebat

SHAH ALAM, 9 MEI: Peningkatan drastik kira-kira RM4 juta zakat fitrah ditunaikan menerusi dalam talian sepanjang 14 hari Ramadan tahun ini, kata ketua divisyen kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu hanya RM700,000 zakat fitrah ditunaikan dalam talian bagi tempoh sama.

“Kita lihat sambutan amat memberangsangkan. Malah, orang ramai juga sudah mula terima kaedah bayaran dalam talian sejak kita mula menggalakkan pembayaran menerusi medium ini pada awal Ramadan lalu demi mengekang Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata mereka yang belum menunaikan zakat fitrah digalakkan membuat pembayaran segera menerusi laman sesawang Zakat Selangor, www.zakatselangor.com.my di pautan EZakatPay atau perbankan internet di sembilan bank, selain portal MyEG, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz serta Boost.

Bagaimanapun, jelasnya golongan kurang mahir teknologi pula masih boleh menunaikan kewajipan itu sepanjang Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan melalui 1,800 Penolong Amil Fitrah yang ditugaskan di masjid dan surau sekitar negeri ini.

Mohd Sabirin berkata bilangan Penolong Amil Fitrah juga dikurangkan berbanding tahun lalu 2,800 kerana mengambil kira beberapa faktor keselamatan ketika penularan Covid-19.

“LZS juga menggariskan panduan dan syarat kepada Penolong Amil Fitrah yang dibenarkan mengutip zakat fitrah semasa Perintah Kawalan Pergerakan antaranya berumur 60 tahun ke bawah, sihat serta tiada penyakit kronik dan gejala Covid-19 ketika bertugas,” kata beliau.

Pada masa sama, LZS menasihatkan Penolong Amil Fitrah dan pengeluar zakat sentiasa amalkan kebersihan, jaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.


Pengarang :