AGENDAEKONOMINASIONAL

KWSP: Pengeluaran i-Lestari 3.5 juta pencarum babit RM1.66 bilion

KOTA KINABALU, 9 MEI: Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) meluluskan pengeluaran Akaun 2 kepada 3.5 juta pencarum berjumlah RM1.66 bilion sejak pengeluaran i-Lestari dilancarkan April lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata setiap pencarum yang mendapat kelulusan KWSP, amaun dipohon bagi pengeluaran i-Lestari dikreditkan ke akaun secara pindahan dana elektronik bermula dari 4 hingga 18 Mei.

“Inisiatif i-Lestari KWSP melibatkan peruntukan RM40 bilion menyediakan kecairan dalam ekonomi negara secara purata RM3.3 bilion sebulan.

Agregat kecairan ini diperlukan bukan sahaja bagi menolong rakyat mendapatkan pendapatan boleh guna, tetapi juga mewujudkan kecairan dalam pasaran yang diperlukan sektor peruncitan, wang bertukar tangan dan mewujudkan kesan berganda pada ekonomi negara,” katanya.

Abdul Rahim berkata sektor peruncitan terjejas teruk akibat kesan pandemik Covid-19.

Darurat kesihatan tidak pernah berlaku dahulu ini menguncupkan aliran tunai di pasaran akibat ramai rakyat tempatan kehilangan sumber pendapatan dan ditambah lagi dengan lenyapnya berbilion ringgit pendapatan dari pelancong luar negara akibat kemerosotan sektor perkhidmatan pelancongan, katanya.

Beliau berkata bagi membangunkan semula ekonomi, ia memerlukan masa kerana gelombang pandemik virus ini menjejaskan semua pihak di seluruh dunia dan diharap dapat diredakan dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun dan semua sektor dapat dipulihkan semula.

Menerusi i-Lestari, pencarum boleh mengeluarkan simpanan maksimum RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan dari Akaun 2 masing-masing.

-BERNAMA


Pengarang :