Penjawat awam mengimbas kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) ketika berada di Bangunan SUK Shah Alam pada 14 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: 148,432 daftar SELangkah, syarikat besar turut guna

SHAH ALAM, 9 MEI: Sejak diperkenalkan Isnin lalu, aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi mengesan kontak Covid-19 merekodkan seramai 148,432 pengguna sehingga semalam.

Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri berbesar hati apabila syarikat besar dan antarabangsa turut menggunakan aplikasi tersebut di premis mereka.

“Antara syarikat atau premis perniagaan menggunakan aplikasi SELangkah di Selangor adalah SP Setia Berhad, kedai serbaneka harian 7-Eleven, rangkaian Coffee Bean and Tea Leaf, malah banyak lagi senarainya.

“Kesediaan syarikat besar menggunakan SELangkah menunjukkan sistem yang dibangunkan ini mendapat kepercayaan pelbagai pihak,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Al-Quran Wakaf Yayasan Restu kepada Petugas Barisan Hadapan dan Pusat Kuarantin Covid-19 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar.

Kerajaan Negeri memperkenalkan SELangkah iaitu sistem pendaftaran keluar masuk individu ke premis perniagaan atau jabatan kerajaan bagi menjejak jangkitan Covid-19.

Konsep SELangkah bertujuan melindungi premis perniagaan, pelanggan dan pasukan barisan hadapan dengan mudah dan pantas.

Pemilik premis diminta mencetak dan mempamer kod QR di tempat perniagaan melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my manakala pelanggan pula perlu mengimbas kod QR tersebut.


Pengarang :