MDHS mengeluarkan notis kacau ganggu dan kompaun kepada kilang penternakan ayam berkaitan kacau ganggu lalat. Foto Sumber: Majlis Daerah Hulu Selangor
PBTSELANGOR

MDHS: Kilang ayam punca lalat dikompaun

SHAH ALAM, 9 MEI: Sebuah kilang ternakan ayam dikompaun dan diberi notis amaran selepas dipercayai menjadi punca lalat di kawasan Kampung Sungai Jang, Kerling di Hulu Selangor.

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memaklumkan premis yang menternak kira-kira 140,000 ayam itu beroperasi dengan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) untuk bangunan sedia ada, tetapi tiada pindaan pelan lulus bagi tambahan reban.

MDHS memaklumkan pemilik premis pernah membuat permohonan pindaan KM pada akhir 2019 namun perlu mendapatkan ulasan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) terlebih dahulu bagi reka bentuk kolam tadahan mereka.

“Selain itu, premis didapati tidak mempunyai lesen perniagaan sah serta tiada pelan bangunan.

“Premis turut gagal menyediakan kawasan pelupusan sisa tinja dan kolam rawatan air mengikut garis panduan,” kata pihak berkuasa tempatan itu menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, MDHS mengeluarkan notis kacau ganggu dan kompaun berkaitan kacau ganggu lalat, kompaun beroperasi tanpa lesen, dan membina bangunan tanpa kebenaran.

“Amaran juga diberi untuk memperbaiki kawalan lalat di dalam premis serta tempoh tujuh hari kepada pemilik premis memastikan kacau ganggu lalat dikurangkan kepada kadar minimum dan melaksanakan pelupusan sisa tinja mengikut syarat KM.

“Pihak Majlis sentiasa memantau perkembangan premis ini untuk memastikan ia mengambil tindakan seperti diarahkan.

“Sekiranya ingkar, premis berkenaan boleh dikenakan tindakan penutupan selama 14 hari dan boleh dibawa ke mahkamah atas kesalahan menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk dan alam sekitar,” katanya.


Pengarang :