AGENDAEKONOMI

MDEC: Sumbangan e-dagang diramal melonjak tahun ini

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Sumbangan e-dagang kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) dijangka melonjak pada tahun ini selepas keyakinan pengguna terhadap transaksi digital mula meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Pegawai Operasi MDEC, Ng Wan Peng, di bawah pelan hala tuju strategik e-dagang kebangsaan, bidang ini dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan 20 peratus kepada RM170 bilion pada tahun ini.

“Berdasarkan kepada perubahan tingkah laku pengguna, kami percaya pertumbuhan ini, mungkin lebih tinggi. Walaupun selepas PKP, sikap pengguna untuk membeli belah dalam talian dijangka akan berkekalan, jadi kami bersedia untuk mencapai sasaran,” katanya kepada pemberita pada sidang maya Ekspo e-Dagang (eDX) di sini hari ini.

Pada 2018, e-dagang membentuk hanya kira-kira lapan peratus daripada KDNK iaitu sebanyak RM150 bilion dan ia telah berkembang sejak PKP.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata angka e-dagang 2019 masih lagi menunggu pengesahan, bagaimanapun, jumlahnya kelihatan amat menggalakkan dengan arah aliran tingkah laku pengguna menyaksikan peningkatan keyakinan daripada sudut pembeli serta perniagaan.

“Keadaan sekarang amat menggalakkan, ramai orang sedang cuba memasuki pendigitalan, tambahan lagi, ia agak mudah.

“Kami sekarang sangat tertumpu kepada inisiatif skala (pendigitalan) dalam tujuan meningkatkan keupayaan dan semua pihak dalam bidang ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :