Pengunjung Pasaraya Giant Seksyen 7, Shah Alam mengambil peluang membeli keperluan harian dengan mematuhi penjarakan sosial dan mengenakan pelitup muka ketika tinjauan pada 5 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

STFC: Kekalkan penjarakan sosial, pakai pelitup muka

SHAH ALAM, 5 MEI: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor mengingatkan masyarakat supaya terus mengekalkan penjarakan sosial dan memelihara kebersihan.

“Status 56 mukim Selangor tidak berubah. Namun keseluruhannya, Daerah Petaling terjejas dengan kembali semula ke Zon Merah. Ketidaktentuan ini menunjukkan penjarakan sosial dan pelihara kebersihan jangan dipandang sebelah mata.

“Hari ini kes baharu masuk semula kepada satu digit, sila pakai pelitup muka bila keluar, jadikan aksesori wajib,” tulis pasukan itu di Twitter.

Sementara itu berdasarkan data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS), sebanyak lima kes baharu direkodkan hari ini tetapi semua kes tersebut melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang ke negara ini.

Data tersebut menunjukkan bilangan kes keseluruhan di Selangor adalah 1,555 dengan 1,276 daripadanya sembuh.

Menurut BGNS daerah Gombak merekodkan kes aktif tertinggi iaitu 89, diikuti Petaling (51) dan Hulu Langat (45), Kuala Selangor dan Klang (13), Kuala Langat (4), Sabak Bernam (2) serta Sepang dan Hulu Selangor (1).

Semalam Selangor merekodkan 21 kes baharu Covid-19 dengan Petaling mencatat tambahan kes tertinggi iaitu 13.

Hari ini Malaysia merekodkan 30 kes baharu Covid-19 hari ini iaitu terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.


Pengarang :