Petugas Kementerian Kesihatan kelihatan membuat bancian serta mengarahkan setiap penghuni rumah perlu membuat saringan Covid-19 setelah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penduduk Pasar Jalan Othman mula jalani saringan Covid-19

PETALING JAYA, 10 MEI: Penduduk di sekitar Pasar Jalan Othman, di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah mula menjalani ujian saringan wabak Covid-19 pada kira-kira 4 petang ini.

Tinjauan Bernama mendapati, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) dan peralatan PPE telah membuat persiapan di pusat saringan seawal kira-kira 1 tengah hari tadi.

Selain itu, Bernama difahamkan terdapat kira-kira 2,600 penduduk termasuk warga asing akan menjalani saringan itu yang dijangka mengambil masa selama lima hari.

Dalam pada itu, puluhan penduduk mula dilihat keluar rumah untuk ke pusat saringan Covid-19 bagi menjalani ujian berkenaan secara berperingkat.

Tiga pusat saringan dibuka di tiga zon PKPD berkenaan iaitu Zon A di medan selera manakala Zon B di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chen Moh dan Zon C bersebelahan terminal bas.

Hari ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pasar Jalan Othman (PJO) di sini, menjadi kawasan terbaru yang dilaksanakan PKPD berkuat kuasa mulai hari ini hingga 23 Mei.

Kawasan berkenaan dikenakan PKPD selepas KKM mengesahkan terdapat 26 kes positif COVID-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit.

– BERNAMA


Pengarang :