Petugas Kementerian Kesihatan kelihatan membuat bancian serta mengarahkan setiap penghuni rumah perlu membuat saringan Covid-19 setelah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penghuni tiga zon di Pasar Jalan Othman akan disaring

SHAH ALAM, 11 MEI: Semua penghuni kediaman dan premis perniagaan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya, akan menjalani saringan Covid-19.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan kira-kira 2,900 orang di tiga zon sekitar kawasan terbabit dalam usaha mengekang penularan wabak.

“Saya minta penghuni bertenang dan beri kerjasama kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mengikuti arahan pihak berkuasa.

“KKM juga akan membuat saringan terhadap semua penghuni,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam sekitar pasar berkenaan dikenakan PKPD sehingga 23 Mei ini susulan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan itu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan melarang ibu bapa membawa anak kecil ke kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah dalam peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) fasa kedua yang bermula Rabu ini.

Beliau berkata ini susulan terdapat laporan ramai ibu bapa membawa anak masing-masing ke pusat beli-belah sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak.

Katanya buat masa ini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kerajaan tiada halangan jika ibu bapa membawa anak mereka ke pusat beli-belah, namun akan mengkaji mengenakan larangan sekiranya perkara itu berterusan.


Pengarang :