Ir Izham Hashim mendengar keluhan peniaga pasar pagi Taman Cheras Indah yang hilang sumber pendapatan susulan pelaksanaan PKP dan PKPB. Foto Facebook Ir Izham Hashim
ADNSELANGOR

Peniaga pasar pagi Taman Cheras Indah diminta sabar

SHAH ALAM, 18 MEI: Peniaga pasar pagi di Taman Cheras Indah yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat diminta bersabar serta terus bertahan.

Ahli Dewan Negeri Pandan Indah Ir Izham Hashim berkata larangan yang dikuatkuasakan ketika ini demi kebaikan semua pihak dalam menangani pandemik Covid-19.

“Mereka (peniaga) merayu diberi kelonggaran untuk berniaga semula. Saya memahami keluh kesah mereka dan semua yang terkesan diminta bersabar dan terus bertahan agar kita boleh menang dalam melawan virus ini,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Kelmarin, beliau berkesempatan berbincang dan mendengar keluhan peniaga di pusat khidmat masyarakatnya dan memaklumkan akan membantu mereka sedaya upaya.

Setakat ini pasar awam dibuka seperti biasa dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat manakala pasar pagi dan malam masih ditangguhkan sehingga mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Selangor menawarkan bantuan RM500 sekali bayar kepada penjaja dan peniaga kecil yang terkesan susulan penularan Covid-19.

Setakat ini, seramai 16,829 penjaja dan peniaga menerima bantuan melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin dan permohonan masih dibuka hingga Jun.


Pengarang :