Ir Izham Hashim menerima sumbangan sebanyak 500 beg beras untuk diagihkan kepada penduduk kawasan Pandan Indah, Kuala Lumpur pada 12 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

PKP: 5,000 penduduk Pandan Indah terima bantuan

AMPANG, 12 MEI: Lebih 5,000 masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah menerima bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ahli Dewan Negeri (ADN).

Ir Izham Hashim berkata bantuan tersebut termasuk pek makanan asas, kampit beras, daging dan ikan melibatkan peruntukan RM250,000.

“Bantuan bukan sahaja disalurkan kepada pengundi DUN Pandan Indah sahaja, juga mereka yang berasal dari negeri lain tetapi tidak dapat pulang kerana terperangkap sepanjang PKP.

“Selain itu kita juga tidak pinggirkan warga asing, pejabat DUN tetap bantu mereka atas dasar kemanusiaan,” katanya hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Alat Pengecaman Muka dan Pengesanan Suhu Badan bagi kegunaan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah.

Ir Izham berkata, pihaknya akan memantau perkembangan masyarakat setempat dari semasa ke semasa, terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Walaupun tiada sambutan Syawal secara besar-besaran tetapi perayaan tetap disambut dalam suasana sederhana, jadi kita akan beri juga bantuan.

“Namun saya harap pengundi Pandan Indah mengekalkan disiplin serta mematuhi arahan Kementerian Kesihatan bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada 4 hingga 12 Mei lalu dilanjutkan sehingga 9 Jun depan dengan beberapa kelonggaran diberikan.


Pengarang :