Anggota tentera memasang kawat besi bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk penghuni di Selangor Mansion ketika tinjauan pada 7 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPD di Hulu Langat dan kawasan sekitar KL tamat

SHAH ALAM, 4 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hulu Langat dan beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur ditamatkan semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan Maahad Tahfiz An Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23 Kampung Sungai Lui, Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan kawasan sekitar Jalan Masjid India.

“PKPD di Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur, Parcel A dan B yang meliputi Jalan 6/3A dan 9/3A serta Pasar Borong Kuala Lumpur akan tamat hari ini.

“Bagi Parcel C, D, E1, E2, E3 dan F Pusat Bandar Utara, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melanjutkan PKPD sehingga 12 Mei,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada 29 Mac lalu, kerajaan mengenakan PKPD di Sungai Lui selepas lebih satu perempat daripada penghuni di sebuah sekolah agama dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun, PKPD di sebahagian besar kawasan Sungai Lui ditamatkan pada 14 April lalu kecuali Maahad Tahfiz An Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23 Kampung Paya Lebar.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menafikan kepulangan besar-besaran rakyat Malaysia dari Singapura seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kepulangan warga Malaysia dari Singapura masih sekitar 300 hingga 350 orang sehari. Tiada kepulangan besar-besaran seperti yang dibimbangi ramai,” katanya.


Pengarang :