AGENDAEKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan kecil minggu depan berikutan operasi dua pasaran utama – China dan Jepun ditutup selama hampir seminggu bersempena cuti umum.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata harga getah akan turut dijejaskan oleh unjuran ekonomi yang kurang memberangsangkan di serata dunia.

“Harga SMR 20 dan lateks pukal sepatutnya meningkat berikutan stok simpanan petani serta pihak pemproses yang tidak banyak.

“Jumlah simpanan lebih rendah daripada jangkaan itu kebanyakannya disebabkan oleh tekanan harga rendah sejak berminggu-minggu lamanya yang tidak menggalakkan penoreh untuk kembali melakukan kegiatan itu,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah dipengaruhi oleh prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau serta data pembuatan China.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Khamis, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR 20 susut 16.5 sen kepada 461.5 sen sekilogram manakala lateks pukal berkurangan 8.5 sen kepada 410.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 susut 14 sen kepada 461 sen sekilogram dan lateks pukal turun enam sen kepada 411 sen sekilogram.

-BERNAMA


Pengarang :