Chatbot pertama industri lebuh raya bagi memudahkan pengguna mendapat maklum balas pantas. Foto Plus
AGENDANASIONAL

Putri bantu orang awam dapat maklumat pantas – Plus

SHAH ALAM, 22 MEI: PLUS Malaysia Berhad (Plus) memperkenalkan PLUS Texting Realtime Interface (Putri), chatbot pertama industri lebuh raya bagi memudahkan pengguna mendapat maklum balas pantas.

Ketua Pegawai Teknologi Inovasi PLUS, Shamsul Izhan Abdul Majid berkata Putri dijangka dapat mengendalikan lebih 70 peratus daripada 1,500 panggilan diterima Pusat Pemantauan Trafik (TMC) Plus setiap hari.

“Dengan Putri, petugas TMC boleh memberi lebih fokus terhadap panggilan kecemasan dan koordinasi bantuan bagi membantu pelanggan yang berdepan masalah.

“Putri berupaya memberi maklum balas perkhidmatan secara serentak berkaitan kadar tol, maklumat trafik, pertanyaan mengenai PLUSMiles, produk, kemudahan, promosi dan insiden,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Izhan berkata Putri dilancarkan 27 April lalu turut dibangunkan susulan penularan pandemik Covid-19 yang memerlukan orang awam bergantung kepada teknologi digital.

“Pandemik Covid-19 telah merubah cara kita berinteraksi antara satu sama lain dan teknologi berkomunikasi menjadi semakin kerap dalam norma baharu.

“Di peringkat global, chatbot menjadi komponen penting dalam perhubungan pelanggan terutamanya bagi industri penerbangan, kesihatan, telekomunikasi, peruncitan, kewangan, makanan dan media,” katanya.


Pengarang :