AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor zahir takziah kepada keluarga Koperal Safwan

SHAH ALAM, 5 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail yang terkorban ketika menjalankan tugas.

Sultan Sharafuddin dalam kenyataan bertitah tragedi yang menimpa Allahyarham itu sebagai suatu pengorbanan yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara.

“Beta berdukacita dan kesal ke atas tragedi yang menimpa Allahyarham akibat dilanggar oleh pemandu mabuk ketika sedang menjalankan tugas menjaga keselamatan rakyat.

“Beta memandang berat kes kemalangan cuai sebegini dan berharap si pelaku dikenakan hukuman yang setimpal. Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham,” titah baginda.

Baginda turut berharap agar waris dan ahli keluarga Allahyarham Safwan terus tabah menerima ketentuan ini.

Allahyarham Safwan, 31, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia dalam kejadian 2.11 pagi di lokasi berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Lekas akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk.

Susulan itu, kenderaan terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 berhampiran plaza berkenaan.


Pengarang :