Jabatan Kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing di Padang Polo, Kuala Lumpur bagi mengawal penularan Covid-19 pada 14 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tahap jangkitan rendah, pesakit Covid-19 boleh discaj lepas dua minggu

SHAH ALAM, 27 MEI: Pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital selepas 14 hari walaupun masih positif virus, namun dinasihatkan menjalani kuarantin dua minggu di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata protokol terbaharu itu susulan tahap kebolehjangkitan pesakit didapati menurun selepas dua minggu.

“Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kalau mereka melepasi tempoh 14 hari, kebolehjangkitan mereka adalah sifar,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

“Jadi dengan maklumat terbaharu yang kita dapati, kalau selepas 14 hari walaupun (ujian) RT-PCR adalah positif, kita boleh discaj pesakit tersebut.”

Katanya, hasil positif daripada ujian RT-PCR yang diperolehi selepas dua minggu susulan pengesanan “virus yang sudah mati, tapi fragmen itu masih dikesan.”

“Jadi kalau (pesakit) positif lemah, dia tidak menjangkiti. Kebolehjangkitan itu kurang ataupun hampir sifar,” katanya.


Pengarang :