AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais pantau operasi LZS, pastikan tadbir urus telus

SHAH ALAM, 27 MEI: Semua operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) termasuk kutipan dan agihan diawasi serta dipantau secara langsung oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengikut ketetapan Majlis Fatwa Negeri Selangor.

LZS dalam kenyataan memaklumkan agensi tersebut turut dipantau Firma Audit Antarabangsa, audit negara, audit Sirim, audit Mais juga audit dalaman.

“Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS serta 14 jawatankuasa turut dibentuk dan diwakili tokoh masyarakat, pakar dan individu yang mempunyai kredibiliti sesuai dengan pengalaman mereka untuk memastikan tadbir urus Zakat Selangor kekal telus dan efisien.

“Setiap wang yang dikutip dan diagihkan juga disiarkan di media utama dan media sosial bagi memastikan semua aspek pengurusan kutipan serta agihan zakat dilaksanakan dengan baik bagi pembangunan ummah,” katanya di Facebook.

Kenyataan itu susulan pandangan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 2016 berhubung pengurusan wang zakat kurang efektif, yang tular semula di media sosial.

Sementara itu, LZS menjelaskan pihaknya sentiasa komited memberi perkhidmatan kepada umat Islam dengan penuh integriti dan profesionalisme, selain membangunkan asnaf di negeri ini.

“Sepanjang 25 tahun menguruskan zakat, pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan untuk membantu mereka yang layak di bawah kategori asnaf yang ditetapkan oleh maqasid syariah.

“Sehingga kini, lebih 172 skim bantuan disalurkan kepada lapan kategori asnaf seperti ditetapkan di dalam al-Quran,” jelasnya.


Pengarang :