Keadaan aliran trafik menuju ke Plaza Tol Rawang Selatan terkawal ketika tinjauan hari keempat Pergerakan Rentas Negeri yang memohon melalui aplikasi Gerak Malaysia pada 10 MEI 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ziarah Aidilfitri cuma raya pertama, had maksimum 20

SHAH ALAM, 13 MEI: Aktiviti ziarah Aidilfitri hanya dibenarkan pada Hari Raya pertama membabitkan ahli keluarga terdekat sahaja, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memutuskan ziarah Aidilfitri pada hari berikutnya sepanjang Syawal tidak dibenarkan.

“Ziarah hanya pada raya pertama, tidak ada raya kedua, ketiga dan seterusnya. Rumah terbuka juga dilarang mengikut peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya di Putrajaya hari ini.

Mengenai keputusan kerajaan membenarkan aktiviti ziarah keluarga dalam negeri sama dengan had maksimum 20 orang, Ismail Sabri berkata jumlah itu perlu mengambil kira saiz sesebuah rumah.

“Katakan flat berukuran 600 kaki persegi, 20 satu masa mungkin terlalu ramai dan tak boleh berlaku penjarakan sosial, jadi lima orang saja (satu masa) tetapi maksimum tetap 20 orang sehari.

“Sebenarnya walaupun (pergerakan) sudah dilonggarkan, tujuan kita memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah PKPB supaya orang ramai berada di rumah dan mengelak bertemu ramai orang.

“Boleh berhari raya, tetapi kalau boleh ambil inisiatif sendiri untuk elak (bertemu ramai orang),” katanya.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) hari perayaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu turut merangkumi Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak.


Pengarang :