AGENDANASIONAL

Berlaku adil ahli parlimen bawa isu rakyat, hentikan intimidasi politik – Dr Wan Azizah

SHAH ALAM, 17 JUN: Pihak berkuasa perlu berlaku adil sementara Kerajaan Persekutuan tidak melakukan intimidasi politik terhadap ahli parlimen yang menyuarakan isu rakyat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dipanggil memberikan keterangan kepada polis semalam berhubung persoalan mengenai perkembangan Pelan Strategi Menangani Perkahwinan Bawah Umur di Twitter baru-baru ini.

“Adakah salah bagi Hannah Yeoh, mantan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang turut sama merangka pelan strategik tersebut menanyakan mengenai status dan kemajuan pelan tersebut kepada Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff selaku Timbalan Menteri merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang memandangkan Kelantan juga salah sebuah negeri yang telah menolak usaha menaikkan had umur perkahwinan ini?” kata ahli parlimen Pandan dalam kenyataan hari ini.

Pelan strategi yang dilancarkan pada 16 Januari lalu merupakan langkah dirangka kementerian mencari penyelesaian isu ini kerana urusan perkahwinan orang Islam berada dalam bidang kuasa Negeri.

Terdapat tujuh negeri yang tidak bersetuju terhadap draf pindaan Akta Undang-Indang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) yang menetapkan umur minimum perkahwinan wanita kepada 18 tahun.

Antara negeri berkenaan adalah Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan Kedah dan termasuk Kelantan.


Pengarang :