Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel penduduk setempat yang hadir membuat ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan di Pangsapuri Taman Langat Murni pada 3 Jun 2020. Foto: BERNAMA
AGENSISELANGOR

Covid-19: Saringan 9,000 penduduk di Kuala Langat selesai Jumaat

KUALA LANGAT, 3 JUN: Ujian saringan Covid-19 ke atas 9,000 penduduk di dua taman perumahan di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran bermula malam Selasa dijangka selesai Jumaat ini, kata Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim.

Beliau berkata dua taman perumahan terlibat iaitu Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP secara pentadbiran sehingga 16 Jun ini.

Kedua-dua lokasi itu dikenakan PKP secara pentadbiran ekoran 20 pekerja asing sebuah syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tinggal di kawasan berkenaan didapati positif Covid-19 pada Khamis lepas.

“Daripada 9,000 penduduk di sini, 30 peratus merupakan warga asing manakala bakinya adalah warga tempatan. Setakat Jumaat lepas, seramai 114 kontak rapat dengan pesakit dikenal pasti dan diasingkan di stesen kuarantin Institut Latihan Islam Malaysia serta Institut Latihan Perundangan dan Kehakiman di Bangi.

“Sejak Sabtu hingga semalam, sebanyak 2,250 sampel diambil iaitu 1,499 sampel warga tempatan dan 751 warga asing. Dengan keupayaan 2,000 sampel ujian swab boleh dilakukan sehari, kita jangka pada Jumaat ini, kesemua 9,000 penduduk selesai jalani ujian saringan Covid-19,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Penduduk setempat beratur menunggu giliran dan diberi sanitizer sebelum menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan di Pangsapuri Taman Langat Murni, pada 3 Jun 2020. FOTO: BERNAMA

Menurut Mohd Jusni, PKP secara pentadbiran di kawasan berkenaan dibahagikan kepada tiga zon melibatkan 1,752 buah rumah.

“Zon A melibatkan 480 rumah, zon B sebanyak 778 rumah dan zon C 494 rumah. Setakat ini, ia merupakan kawasan yang dikenakan PKP pentadbiran yang terbesar melibatkan kawasan seluas 43.3 hektar dengan pemasangan kawat berduri sepanjang empat kilometer.

“Sebanyak 664 petugas barisan hadapan terdiri daripada polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan memantau kawasan ini sepanjang pelaksanaan PKP pentadbiran,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun kedua-dua taman perumahan itu dikenakan PKP secara pentadbiran namun penduduk tempatan yang belum menjalani ujian saringan Covid-19 masih boleh keluar masuk atas tujuan dibenarkan sahaja.

Bagi penduduk tempatan yang selesai ujian saringan itu, katanya, mereka perlu kuarantinkan diri di rumah masing-masing selama 14 hari namun untuk warga asing, golongan itu tidak dibenarkan keluar daripada lokasi berkenaan sehingga tamat tempoh perintah itu.

Mengulas mengenai operasi premis perniagaan di lokasi itu sepanjang PKP secara pentadbiran dilaksanakan, Mohd Jusni berkata kedai makan dan kedai runcit masih dibenarkan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan iaitu dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Beliau turut menyarankan badan bukan kerajaan yang berhasrat menyalurkan barangan keperluan kepada penduduk di lokasi terbabit supaya mendaftarkan sumbangan dengan Jabatan Kebajikan Malaysia terlebih dahulu.

-BERNAMA


Pengarang :