AGENDAGLOBAL

Covid-19: Singapura catat 569 kes baharu, keseluruhan 36,405 kes

SINGAPURA, 3 JUN: Singapura dalam pengesahan awal memaklumkan tambahan 569 kes baharu jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kini 36,405 kes.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata data awal setakat tengah hari menunjukkan bahawa kebanyakan kes masih melibatkan pekerja warga asing yang tinggal di asrama, dan tujuh kes dalam komuniti.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata pihaknya masih meneruskan perincian kes-kes itu dan akan memberikan maklumat terkini lewat hari ini.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat semalam (Selasa), Singapura mengklasifikasikan 1,689 sebagai kes komuniti, 580 adalah kes import manakala 33,567 melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Seramai 23,175 pesakit, atau kira-kira 65 peratus daripada jumlah 35,836 kes keseluruhan semalam, telah pulih sepenuhnya.

Kementerian itu berkata 12,306 kes yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal tetapi positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakat tengah hari semalam, 331 kes masih dirawat di hospital dengan enam di unit rawatan rapi, sementara 24 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

Tiga kluster baharu dikenal pasti pada Selasa, kesemuanya melibatkan asrama iaitu 6, Tuas View Square; 65 & 67 Tuas View Walk 2; dan 18, Woodlands Industrial Park E1.

Tidak ada kes baharu dikesan dalam tempoh dua hari di kluster terbesar di republik berkenaan iaitu S11 Dormitory @Punggol dan jumlah kes kekal 2,711.

Bagaimanapun, lima kes baharu dikesan mempunyai kaitan dengan asrama terbesar di Singapura iaitu Sungei Tengah Lodge di 500, Old Choa Chu Kang Road, menjadikan jumlah keseluruhan 1,994 kes.

— BERNAMA


Pengarang :