Isteri kepada Datuk Ooi Eow Jin, Datin Khaw Lean Kee bercakap kepada media di Taman Sea, Petaling Jaya pada 27 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Isteri jual alat muzik milik Eow Jin, tampung kos perubatan

PETALING JAYA, 27 JUN: Datin Khaw Lean Kee isteri kepada komposer veteran, Datuk Ooi Eow Jin mendedahkan terpaksa menjual alat muzik milik suaminya demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Lean Kee berkata, ia berlaku sebelum penderitaan Eow Jin menghidap Alzheimer tular dan mendapat bantuan pelbagai pihak.

“Masa itu tak ada orang tau…kami perlukan duit untuk tampung kos perubatan dan Datuk (Eow Jin) juga sudah tak main piano dan organ.

“Saya juga buat kerja sambilan jual biskut dan teh cina. Ini semua untuk dapatkan wang tampung kos perubatan Datuk dan anak,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, beliau dikunjungi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei. Beliau menerima sumbangan berjumlah RM14,000.

Selain suami, Lean Kee turut menjaga anaknya Raymond,56, yang terlantar akibat ketumbuhan pada kepala.

Berkongsi cerita, wanita berusia 80 tahun itu berkata, sekiranya Eow Jin mempunyai ‘mood’, suaminya akan menggerakkan jari seolah-olah sedang bermain alat muzik.

“Namun ada masa Datuk akan marah kalau kita minta dia main piano. Sekarang Datuk pun dah lupa kod piano,” katanya.

Eow Jin memulakan kerjaya dalam bidang muzik dengan menganggotai Orkestra RTM selama empat dekad bermula 1963 hingga 1983, sebelum berhijrah ke TV3 setahun kemudian.

Beliau banyak mencipta lagu untuk penyanyi tempatan dan luar negara termasuk Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Datuk Rafeah Buang, Datuk M Nasir, Rahimah Rahim, Flora Santos, Alleycats, Jennifer Yen dan Francis Yip.


Pengarang :