Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Persiapan akhir ke tanah suci, 31,600 jemaah sertai kursus haji

SHAH ALAM, 28 APRIL: Seramai 31,600 jemaah mengikuti Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M anjuran Lembaga Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata kursus dua hari satu malam secara berperingkat seluruh negara itu bermula 20 April hingga 5 Mei ini.

Menurut Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, program itu merupakan persiapan terakhir jemaah terpilih pada musim ini sebelum berangkat ke tanah suci.

“Pengisian dalam kursus ini menzahirkan suasana sebenar di tanah suci sekali gus melatih bakal haji agar bersedia menghadapi pelbagai situasi mencabar semasa kemuncak haji yang menghimpunkan hampir tiga juta jemaah dari serata dunia.

“Alhamdulillah, setiap tahun Tabung Haji mendapati bakal haji yang menghadiri kursus haji lebih bersedia dan lebih mudah menyesuaikan diri semasa di Tanah Suci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyempurnaan Penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 1445H/2024 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Majlis disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Turut mengiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Mohd Naim berkata setiap tahun Tabung Haji menganjurkan kursus asas, intensif dan seterusnya disempurnakan dengan kursus perdana bagi bakal haji.

Jelasnya, Tabung Haji turut mempergiatkan inisiatif digitalisasi dengan memperluas perkhidmatan dalam talian bagi kemudahan jemaah haji, selari dengan situasi dan keperluan semasa.

“Tabung Haji telah melancarkan tiga inisiatif digitalisasi operasi haji antaranya aplikasi THhujjaj, e-Bimbingan dan e-TAIB yang memudahkan jemaah haji mendapat maklumat terkini sepanjang berada di tanah suci,” katanya.


Pengarang :