AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais: Masjid, surau di Selangor kekal dibuka berperingkat

SHAH ALAM, 15 JUN: Masjid dan surau di Selangor kekal dibuka berperingkat walaupun kerajaan membenarkan operasinya di Wilayah Persekutuan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor berkata pembukaan semula rumah ibadat bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dan perlu mendapat perkenan Sultan Selangor.

“Setakat ini masih dibuka berperingkat, sebarang perubahan akan diumumkan kelak,” kata Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi SelangorKini.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibuka semula kecuali zon merah selepas melihat kadar pematuhan tinggi jemaah dan pengurusan terhadap tatacara operasi piawai (SOP).

Pada 14 Mei lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membenarkan solat Jumaat di 39 masjid terpilih di Selangor dengan jemaah tidak melebihi 12 orang terdiri dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.

Bagaimanapun, bilangan tersebut ditambah kepada 40 orang berkuat kuasa 12 Jun lalu.


Pengarang :