AGENDANASIONAL

Jualan Proton meningkat 73.2 peratus, tanda awal pemulihan automotif

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Terdapat tanda-tanda awal pemulihan selepas 5,676 kenderaan dijual, meningkat 73.2 peratus berbanding Mac 2020, walaupun perlu mematuhi tatacara operasi piawai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menurut Proton Holdings Bhd.

Syarikat automotif kembali memulakan operasi di bawah PKPB dan industri itu di Malaysia mengambil langkah-langkah sementara untuk kembali pulih pada Mei dengan hampir sebulan penuh jualan beroperasi.

“Pada Mei 2020, Proton menjual sebanyak 5,676 kenderaan, dengan pegangan pasaran dianggarkan 23.3 peratus. Bagi bulan sama pada 2019, jualan syarikat dicatatkan sebanyak 10,611 unit, menunjukkan perbezaan 46.5 peratus sekali gus menggambarkan keadaan pasaran yang mencabar akibat penularan Covid-19,” menurut Proton.

Bagaimanapun, 5,676 unit pada Mei merupakan satu peningkatan, katanya dalam kenyataan.

“Perintah PKP dan PKPB yang dikeluarkan merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia dan telah memberi kesan kepada setiap aspek ekonomi negara.

“Industri automotif kini beransur-ansur pulih namun seperti yang dijangkakan, bulan pertama adalah tempoh penyesuaian kerana perlu mengamalkan normal baharu yang melibatkan seluruh aspek operasi syarikat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong.

Katanya, ia akan memerlukan beberapa bulan lagi untuk mendapatkan ketepatan bacaan keadaan pasaran ekonomi tetapi Proton yakin akan dapat melihat peningkatan prestasi yang stabil untuk baki tempoh tahun ini.

Jumlah jualan Proton yang dicatatkan dari awal tahun sehingga kini berkurangan sebanyak 23.3 peratus untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini dan bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan turut menyusut sebanyak 48.7 peratus dalam tempoh sama.

Dari segi kedudukan pasaran dan pegangan pasaran, Proton kekal sebagai jenama kedua terlaris di Malaysia dengan jumlah pegangan pasaran setakat ini sebanyak 21.1 peratus, sejajar dengan sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.

Prestasi jualan Proton pada Mei disebabkan empat model syarikat yang mencatatkan jualan tertinggi dalam segmen pasaran masing-masing, katanya sambil menambah Proton X70 kekal menjadi SUV segmen C terlaris di negara ini dan jumlah kumulatifnya pada tahun ini juga menunjukkan SUV itu yang terlaris secara keseluruhan.

Dikeluarkan melalui kilang baharu di Tanjung Malim, model tersebut telah dinaik taraf pada Mei lepas dengan penambahan penapis kabin N95 iaitu Sistem Pembersih Udara Pintar PROTON (P-IAPS). Penapis baharu tersebut turut ditawarkan kepada pemilik sedia ada Proton X70 untuk menggantikan sistem penapis kenderaan mereka, menurut Proton.

Syarikat terus mencatat prestasi terbaik apabila Proton Saga turut menjadi model pilihan pembeli di Malaysia pada Mei. Ini adalah pencapaian kali pertama bagi model tersebut dan turut meletakkannya sebagai sedan segmen A paling popular pada bulan lepas.

Selain itu, model Proton lain yang turut mencatat jualan cemerlang ialah Proton Persona yang merupakan model terlaris bagi sedan segmen B manakala Proton Exora kekal menjadi pilihan utama bagi pasaran MPV segmen C.

Katanya, Proton akan menawarkan nilai yang lebih baik pada bulan ini untuk menarik minat pembeli. Pelanggan yang membeli Proton X70 layak untuk menikmati pembiayaan percuma bagi tahun pertama, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

-BERNAMA


Pengarang :