Mohammad Syurkri Ismail (dua dari kiri) bersama kakitangan ketika ditemui di Kedai Serbaneka Kohijrah dekat Seksyen 32 Shah Alam pada 25 Jun 2020.
AGENSISELANGOR

Kohijrah tawar program latihan kepada usahawan Seldec

SHAH ALAM, 25 JUN: Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah) menawarkan program latihan kepada usahawan baharu untuk memantapkan strategi perniagaan bagi menarik pembeli dalam pasaran terbuka.

Pengurusnya Mohammad Syukri Ismail berkata tawaran itu diberi menerusi program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) yang dibangunkan bersama Selangor Industrial Corporation (SIC).

“Kohijrah memainkan peranan membangunkan usahawan menerusi program latihan bersama agensi yang ada termasuk Institut Koperasi Malaysia.

“Kita jemput para usahawan untuk meletakkan produk secara percuma di Kedai Serbaneka Kohijrah dan kita uruskan strategi pemasaran,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut beliau, pemasaran produk di Kedai Serbaneka Kohijrah tidak tertumpu kepada usahawan Selangor sahaja malah terbuka untuk peniaga di seluruh Malaysia.

“Latihan yang kami berikan kepada peserta sebelum ini berjaya mengubah beberapa usahawan baharu menjadi usahawan kelas menengah apabila produk mereka semakin dikenali setelah tampil dengan pembungkusan lebih menarik,” katanya.

Kerajaan Negeri memperkenalkan Seldec bagi membolehkan usahawan memasarkan produk ke seluruh Selangor dengan pembelian secara dalam talian sambil disokong Seldec Rider.

Seldec menyasarkan 7,800 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun selain pembukaan lebih banyak hab pengumpulan produk untuk dipasarkan seluruh Selangor.


Pengarang :