BUDAYARENCANA

Kerusi

tidak tahu siapa menumpangkan
pinggul di dadaku, semalam.

aku perasan, wajahnya kelabu
matanya sepanduk liar menjulang
dia meracau tentang politik utopia
demonstran-demonstran lapar
pencuri selipar, dan impian isterinya
melahirkan anak kembar, tetapi
dihalang oleh ekonomi yang sukar
dia seperti pengkhayal dunia
menyedut ganja siasah – terakhir,
aku mendengar hasrat sucinya
melepaskan berahi kepada
politikuswati bersara dan mengirim
spermanya kepada janda segar
di hujung dunia. ah, cita-citanya
tinggi. membina negara sendiri.
bebas rasuah dan monopoli.

aku tertidur pulas selepas itu
tidak tahu siapa pula memarkir
pinggul di dadaku hari ini –
ia sentiasa bersilih ganti, sebentar
ahli parlimen bersut mewah, sebentar lagi
pengemis tua melepas mengah.

Tuah Sujana


Pengarang :