Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas jika terlibat seludup warga asing

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Jabatan Imigresen tidak berkompromi dan melindungi pegawai dan anggotanya yang didapati bersekongkol dengan tekong atau orang tengah dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pegawai dan anggota yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas kerana terbabit dengan aktiviti menyalahi undang-undang itu.

“Imigresen sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan pegawai dan anggota tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan tiga pegawai Imigresen di Johor semalam yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis serta yakin siasatan yang adil dan profesional akan dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sentiasa mengadakan kursus, kempen serta program-program berkaitan antirasuah bagi memastikan integriti setiap pegawai dan anggota berada di tahap tertinggi.

“Sebagai jabatan yang bertanggungjawab mengawal pintu masuk negara dan menguruskan hal ehwal warga asing, setiap pegawai sentiasa dinasihatkan agar tidak sama sekali menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Semalam, polis menahan seorang pegawai kanan dan dua pegawai Imigresen berusia 30 hingga 48 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilapor berkata , sindiket berkenaan disyaki menyediakan perkhidmatan cap keluar masuk Jabatan Imigresen palsu untuk kegunaan warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

-BERNAMA


Pengarang :