Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media khas berhubung perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasminya di Shah Alam pada 15 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

MB kongsi video Hari Bapa, tanggungjawab besar bergelar abah

SHAH ALAM, 21 JUN: Sempena sambutan Hari Bapa hari ini, Dato’ Menteri Besar berkongsi video ucapan penghargaan daripada isteri Datin Seri Masdiana Muhamad dan anak-anak kepada dirinya.

“Saya dikurniakan enam cahaya mata hasil perkahwinan selama 15 tahun. Menggalas amanah dan tanggungjawab bergelar abah dalam mendidik isteri dan anak-anak. Terima kasih saya ucapkan kepada Diana (Masdiana) dan anak-anak abah atas video penghargaan ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Amirudin berdoa semoga dirinya terus cekal menggalas amanah sebagai ketua keluarga dan mengemudi pentadbiran negeri ini.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua insan bergelar bapa di Selangor serta Malaysia dengan menyifatkan tanggungjawab insan tersebut sangat besar untuk mendidik serta membesarkan anak, selain membimbing isteri dan keluarga.

Menerusi video tersebut, tiga daripada enam anaknya iaitu Amirul Haziq, 14; Ana Safiya, 10, dan Amina Safrina, 5, berkongsi sifat sebenar abah mereka yang berpewatakan tegas tetapi sebenarnya seorang yang suka bergurau dan melawak.

“Abah suka melawak dan bergurau, tidak serius macam dalam gambar atau ketika sidang media. Jika kami pergi bercuti pun abah menjadi orang paling kelakar,” kata Amirul.

Selamat Hari Abah

Saya dikurniakan enam orang cahaya mata hasil perkahwinan selama 15 tahun. Menggalas amanah dan tanggungjawab bergelar ‘Abah’ dalam mendidik isteri dan anak-anak. Terima kasih saya ucapkan kepada Diana dan anak-anak Abah atas video penghargaan ini. Semoga Abah terus cekal menggalas amanah sebagai ketua keluarga dan mengemudi pentadbiran negeri ini, InsyaAllah.

Posted by Amirudin Shari on Saturday, 20 June 2020

 

Bagi Masdiana, beliau menyifatkan Amirudin seorang suami dan abah yang penyayang serta tidak pernah membawa bebanan kerja pulang ke rumah.

“Apabila berada di rumah beliau menjadi seorang yang sangat penyayang, apa sahaja hal di pejabat ditinggalkan di luar walaupun ada masanya tertekan dengan kerja.

“Beliau juga ingatkan kepada anak-anak bahawa abah tidak sama macam orang lain, abah ada tanggungjawab besar dan alhamdulillah anak-anak faham,” katanya.


Pengarang :