PBTSELANGOR

MPK siap siaga bersih kawasan risiko banjir

SHAH ALAM, 25 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersiap siaga menjalankan kerja pembersihan di beberapa lokasi berisiko menghadapi bencana alam terutama banjir.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pihaknya akan melaksanakan kerja mengorek dan mengeluarkan sampah dalam parit dan membuangnya ke tapak pembuangan.

“Kita juga menubuhkan pasukan tindakan segera (Pantas) untuk menyalurkan laporan awal situasi bencana atau bantuan kecemasan dan logistik kepada pasukan keselamatan yang sentiasa bersiap-sedia 24 jam,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata MPK melalui Jabatan Penguatkuasa sentiasa memantau kawasan bencana menerusi 76 lokasi kamera litar tertutup disusuli saluran maklumat di WhatsApp.

“Pos gerakan turut dibuka bagi membantu mangsa banjir dan mereka boleh membuat aduan kerosakan kediaman, peralatan perabot dan perkara berkaitan,” katanya.

Dr Ahmad Fadzli berkata sekiranya berlaku bencana berkaitan semua dewan serbaguna MPK akan dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa yang dikawal anggota keselamatan.

Untuk maklumat lanjut, orang awam boleh menghubungi Bilik Gerakan Pantas MPK di talian 03 – 3370 1095.


Pengarang :