Kaunselor Rumah Akhlak Insani Bukit Beruntung, Muhammad Ayub Ombi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penerima sumbangan zahir rasa syukur, harap berterusan

SHAH ALAM, 16 JUN: Sumbangan Kerajaan Negeri bernilai RM150,000 kepada 30 wakil Rumah Perlindungan dan Pemulihan Riqab disambut penuh kesyukuran kerana membantu pengurusan memantapkan aktiviti kerohanian kepada asnaf berkenaan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana sentiasa menyokong kami dalam memulihkan golongan dibelenggu masalah akhlak dan akidah ini. Sekurang-kurangnya ia membantu kami melaksanakan program bermanfaat kepada mereka,” kata Muhammad Ayub Ombi kepada SelangorKini.

Wakil merangkap kaunselor dari Rumah Akhlak Insani Bukit Beruntung berkata membentuk asnaf adalah satu cabaran besar namum lama kelamaan mereka dapat menyesuaikan diri dan menerima ajaran diterapkan.

Exco Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman bersama penerima pada Program Santuni Rumah Perlindungan dan Pemulihan Riqab Negeri Selangor di lobi Foyer SUK, Shah Alam pada 16 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Penguasa Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan Sabak Bernam, Nazatushima Osman berkata sumbangan julung kali dari Kerajaan Negeri itu akan dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah dan sebagai tambahan untuk menambah baik rumah.

“Alhamdulillah semoga sumbangan ini diteruskan lagi pada masa akan datang… Setakat ini, di pusat perlindungan ini ada 80 asnaf riqab tetapi disebabkan pandemik Covid-19 pengambilan terpaksa dihentikan dulu dan rata-rata daripada mereka mempunyai masalah sosial namun berjaya dipulihkan sedikit demi sedikit,” katanya.

Hari ini, Kerajaan Negeri melalui EXCO Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman menyalurkan sumbangan berkaitan kepada semua wakil Rumah Perlindungan dan Pemulihan Riqab kelolaan Majlis Agama Islam Selangor bertujuan meringankan beban pihak pengurusan.


Pengarang :