PBTSELANGOR

Peniaga pasar malam berniaga ikut sistem giliran Isnin ini

SELAYANG, 19 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menetapkan peniaga pasar malam akan meneruskan semula operasi perniagaan mengikut sistem penggiliran mulai Isnin ini, kata pengarah jabatan pelesenannya.

Hairudin Daud berkata tatacara operasi piawai (SOP) ketat perlu dipatuhi peniaga dan pengunjung sepanjang kebenaran operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) itu.

“Semalam, kita memanggil 46 pengelola pasar malam untuk diberi taklimat berkenaan SOP Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan MPS.

“Mereka faham garis panduan itu malah menyambut baik sistem penggiliran peniaga di tapak berkenaan kerana kita mahu kurangkan orang ramai berkumpul di lokasi terbabit,” katanya selepas lawatan ke beberapa pasar pagi dan tapak penjaja sekitar daerah itu hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan pemantauan secara berterusan di semua tapak pasar malam bagi memastikan semua pihak mematuhi garis panduan dan MPS bekerjasama dengan polis untuk tujuan itu serta membuat laporan kepada pejabat daerah dan tanah setiap minggu.

Pada 12 Jun lalu, Kerajaan Negeri memutuskan membuka semula perniagaan pasar pagi dan malam serta bazaria secara berperingkat di lokasi terpilih sejak Isnin lalu.

Waktu operasi bagi pasar pagi, pasar terbuka dan pasar tani sewaktu PKPP adalah bermula pada 6 hingga 11 pagi manakala pasar malam bermula 4 petang hingga 10 malam.

Operasi bazaria pula hanya dibenarkan bermula pada 5 petang hingga 12 tengah malam.


Pengarang :