Anggota polis dan tentera berkawal di pintu keluar pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran di Pangsapuri Taman Langat Utama Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKP pentadbiran: Penduduk Taman Langat bakal terima bekalan makanan

KUALA LANGAT, 4 JUN: Bekalan makanan antara keperluan utama diberi kepada penduduk Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pentadbiran bermula semalam.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Borhan Aman Shah berkata perkara tersebut dibincangkan bersama Dato’ Seri Amirudin Shari dan akan dilaksana dalam tempoh terdekat.

“Keperluan kita nampak tentulah bekalan makanan dan kita juga sudah bincang dengan pejabat daerah cara beri bantuan,” katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Bantuan Khas Kewangan kepada Setiausaha dan AJK Biro Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kuala Langat.

Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas Program Penyerahan Bantuan Kewangan Khas di Pejabat Tanah Kuala Langat pada 6 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Borhan berkata lebih separuh daripada 9,000 penduduk di kawasan berkenaan sudah disaring dan berkemungkinan individu yang keluar masuk perlu mengulangi prosedur sama.

“Ini antara langkah awal dilakukan kerana kawasan terbabit dekat dengan kampung tradisi dan kilang yang mempunyai bilangan pekerja ramai. Kita tidak mahu ada penularan wabak,” katanya.

PKP secara pentadbiran di kedua-dua kawasan tersebut susulan 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan tinggal di taman berkenaan, disahkan positif Covid-19 Khamis lalu.

Bagaimanapun, penduduk dibenarkan keluar masuk kerana pelaksanaan PKP di situ berbeza di tempat lain seperti Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang.


Pengarang :