Anggota PDRM dan ATM mengawal jalan keluar masuk di pos kawalan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pentadbiran dilaksanakan di Pangsapuri Utama Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 7 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKP secara pentadbiran dua taman di Kuala Langat tamat

KUALA LANGAT, 16 JUN: Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni, Bukit Changgang di sini, ditamatkan hari ini.

Pegawai Tanah dan Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata ia ditamatkan pada kira-kira 11 pagi tadi.

Kementerian Kesihatan Malaysia selesai melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap semua 4,697 penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan, katanya pada sidang media di pusat operasi kawalan secara pentadbiran itu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman.

Mohd Jusni berkata daripada keputusan saringan yang diperoleh ke atas kesemua penduduk di situ, jumlah individu didapati positif Covid-19 kekal sembilan orang dengan tujuh adalah warga tempatan manakala masing-masing seorang warga Nepal dan Thailand dan mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Pelaksanaan PKP secara pentadbiran dikenakan sejak 2 Jun lepas di kedua-dua taman perumahan itu berikutan wujudnya kes positif Covid-19 membabitkan 20 pekerja pembersihan warga asing yang menginap di kawasan berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :