Hentian Rehat dan Rawat di Dengkil, Sepang. Foto Plus Malaysia Berhad
AGENDANASIONAL

Surau R&R, pasar raya dibuka esok, kedai makan beroperasi hingga 12 malam

SHAH ALAM, 9 JUN: Surau di hentian Rehat dan Rawat (R&R) serta pasar raya dibuka semula bermula esok, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Khas Menteri hari ini memutuskan kebenaran itu dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula esok namun tertakluk kepada tatacara operasi piawaian (SOP).

“Kepada mereka yang mahu menunaikan solat di surau, perlulah megamalkan disiplin diri dan penjarakan sosial.

“Rentas negeri bermula esok dan kita percaya ramai akan menempuh perjalanan jauh, jadi surau akan dibuka. Ramai juga mengadu surau di pasar raya tutup jadi esok kembali dibuka,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan tempoh operasi restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka hingga jam 12 tengah malam berbanding 10 malam ketika ini.

“Mesyuarat hari ini bersetuju restoran dan semua gerai dan ‘outlet’ menjual makanan dibenar untuk beroperasi sehingga jam 12 tengah malam, namun harus ditegaskan supaya penjarakan sosial dan SOP perlu dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Ahad lalu, Perdana Menteri, mengumumkan PKPB akan digantikan dengan PKPP yang membenarkan pergerakan rentas negeri selain beberapa aktiviti dilarang ketika PKPB akan dibenarkan.


Pengarang :