AGENDANASIONAL

Demi rakyat, Selangor sedia kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk kesejahteraan rakyat dalam usaha memulihkan ekonomi, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata pemulihan ekonomi Selangor terutama sektor perindustrian dan perdagangan bergantung kepada dasar yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Memandangkan sumber kewangan Kerajaan Negeri terlalu terhad, jadi kita mengalu-alukan pakej rangsangan pemulihan ekonomi yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri telah dan akan terus memberi sokongan serta kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan dalam usaha tersebut bagi memastikan kita sama-sama dapat bangkit daripada situasi getir ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mengulas lanjut Chang Khim berharap peruntukan lebih besar dapat disuntik ke dalam pasaran untuk merangsang ekonomi Malaysia dan Selangor.

Jumaat lalu Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi merangsang ekonomi negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Penjana membabitkan peruntukan berjumlah RM35 bilion melibatkan tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.


Pengarang :