Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dato’ Seri Amirudin Shari serta beberapa pimpinan selepas perasmian Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma, Ampang pada 26 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Akar umbi tekad kukuhkan parti, konvensyen KEADILAN bidas pemimpin khianat

AMPANG, 26 JULAI: Hampir 1,000 perwakilan yang hadir Konvensyen Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bertekad untuk mengukuhkan lagi kekuatan parti meskipun berlaku pengkhianatan membabitkan segelintir pemimpin.

Antara mereka adalah perwakilan dari Selangor, Fariz Musa yang mengagahkan diri menghadiri konvensyen tersebut demi perjuangan parti sekalipun terpaksa berkerusi roda.

“Saya ahli cabang Selayang tetapi sejak keadaan kesihatan tidak mengizinkan saya terpaksa menetap di kampung di Marang, Terengganu.

Fariz Musa pada Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma pada 26 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kepada mereka yang keluar parti, keluarlah tetapi kami ahli KEADILAN tetap istiqamah dalam perjuangan dan semangat reformasi kami tidak pernah padam,” katanya.

Perwakilan Sarawak, Umie Liau turut berkongsi tekad walau beliau mulanya berbelah bagi untuk menghadiri konvensyen tersebut susulan peningkatan kes Covid-19 di negerinya.

“Saya tiba di Kuala Lumpur semalam dan semalam juga Kuching diisytihar zon merah Covid-19, hati mana tidak bimbang kerana ia melibatkan nyawa tetapi saya dan rakan gagahkan diri menghadiri konvensyen ini demi parti dan perjuangan rakyat Sarawak,” katanya.

Perwakilan Kuala Lumpur Harcharan Singh berkata konvensyen tersebut memberi peluang kepada pemimpin akar umbi mendapat maklum balas berhubung pelbagai isu berbangkit.

“Saya harap program seperti ini diadakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semangat ahli sentiasa berada pada tahap terbaik selepas dikejutkan dengan pengkhianatan beberapa pemimpin, selain persediaan menjelang pilihan raya umum ke-15,” katanya.

Dalam konvensyen berkenaan, sebahagian pemimpin parti termasuk Amirudin mengecam perbuatan segelintir bekas pemimpin yang mengkhianati KEADILAN.


Pengarang :