AGENSISELANGOR

Bekalan ayam di Selangor dijangka pulih dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kekurangan bekalan ayam di Selangor sehingga berlaku kenaikan harga dijangka pulih dalam masa terdekat, kata pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata maklum balas diterima pengilang memproses ayam, jumlah kemasukan ayam di peringkat ladang ditingkatkan dan ia dijangka dapat menstabilkan semula harga ayam di pasaran.

“Punca berlakunya kenaikan harga ayam ketika ini adalah kerana pengurangan bilangan pengeluaran ayam ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu akibat permintaan berkurangan ketika itu.

“Pihak pengilang memaklumkan jumlah kemasukan ayam di peringkat ladang dikurangkan kira-kira 60 peratus kerana peladang kurang yakin dengan situasi pasaran menyebabkan mereka mengalami kerugian akibat permintaan berkurangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, KPDNHEP Selangor melakukan pemeriksaaan mengejut di dua kilang memproses ayam di Kampung Melayu, Sungai Buloh dan Klang bagi mendapatkan maklumat berkaitan isu itu.

Tambahnya, selepas PKP dilonggarkan, permintaan terhadap ayam dilihat semakin meningkat sekali gus memberi impak terhadap harga ayam ketika ini.


Pengarang :