Rakyat boleh kembali ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha susulan tiada sekatan perjalanan bagi rentas daerah dan negeri. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Boleh balik kampung, tiada sekatan rentas negeri dan daerah

SHAH ALAM, 27 JULAI: Orang ramai boleh pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha susulan tiada sekatan perjalanan bagi rentas daerah dan negeri, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) mengingatkan rakyat supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengawal penularan Covid-19.

“Patuhi SOP walaupun kerajaan benar balik kampung, kita kena jaga kita. Kita kena pastikan diri kita terjaga dengan mematuhi setiap SOP dikeluarkan,” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata ramai yang melahirkan kebimbangan ekoran laporan berita memaklumkan kerajaan akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes Covid-19 kembali mencecah tiga angka.

“Memang ramai yang bimbang, tetapi PKP memberi kesan sangat besar kepada kita termasuk kepada perniagaan serta pergerakan. Namun yang menentukan tidak berlakunya PKP adalah diri kita sendiri.

“Jadi jangan leka, kita tidak sepatutnya patah kembali ke belakang dengan mengenakan PKP, sebaliknya kita perlu menamatkan segera PKP Pemulihan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada rentas negeri tidak dibenarkan susulan terdapat persediaan dilakukan oleh polis dan Angkatan Tentera Malaysia yang mendirikan khemah di beberapa lebuh raya pada masa ini.

Umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha pada Jumaat ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan menyemak semula SOP Hari Raya Aidiladha dan Ibadah Korban setelah mengambil kira risiko penularan semula Covid-19.

Katanya kerajaan  mengehadkan tidak lebih 10 ekor haiwan bagi masjid dan surau termasuk di lokasi mengadakan korban dibenarkan Pejabat Agama Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata had itu juga tertakluk kepada keluasan lokasi mengadakan ibadah korban.

 


Pengarang :