AGENDANASIONAL

Dewan periksa mesti patuh jarak sosial, pantau kesihatan pelajar

SHAH ALAM, 11 JULAI: Pengendalian peperiksaan awam perlu mengambil kira aspek penjarakan sosial, kebersihan dan keselamatan dalam dewan, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ketua pengawas peperiksaan pula memantau kesihatan pelajar dan segera menghubungi pejabat kesihatan daerah jika ada yang bergejala.

“Perkara ini digariskan dalam tatacara pengendalian peperiksaan awam yang diluluskan mesyuarat khas menteri-menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

“Pelaksanaan peperiksaan awam perlu mengambil kira pertambahan bilangan bilik yang digunakan apabila penjarakan sosial dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan.

Ismail Sabri berkata pentadbir sekolah perlu menyusun jadual pentaksiran pusat mengikut kesesuaian berdasarkan takwim peperiksaan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Selain itu, guru perlu merancang pelaksanaan pentaksiran pusat berdasarkan kesediaan murid untuk ditaksir dan menjadualkan semula pentaksiran jika terdapat murid yang bergejala,” katanya.

Pada 28 Jun lalu, KPM mengumumkan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diadakan pada 6 Januari hingga 9 Februari 2021.

Bagi Sijil Vokasional Malaysia, ujian lisan Bahasa Melayu diadakan pada 16 November 2020 hingga 16 Januari 2021, ujian bertulis (6 Januari 2021) dan Sejarah 1251 (7 Januari 2021).

Ujian bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia pula pada 17, 18 dan 22 hingga 25 Februari tahun depan.

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Kohort 2020, peperiksaan Semester 2 berlangsung pada 12, 13 17 dan 18 Ogos 2020 dan Semester 3 pada 1, 2, 3, 8 dan 9 Mac 2021.

Peperiksaan semester satu STPM 2021 bagi kohort 2021 pula dipinda ke 22 hingga 25 Februari 2021.


Pengarang :