Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 13 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rizab kukuh, Selangor paling awal bantu rakyat depani Covid-19

AMPANG, 27 JULAI: Rizab kukuh membolehkan Selangor paling awal membentang pakej rangsangan ekonomi membantu golongan terkesan akibat Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemampuan berdepan krisis turut disokong keupayaaan luar biasa EXCO, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor dan semua pihak demi kesejahteraan rakyat.

“Selangor ada keupayaan berbeza berbanding negeri lain saat kita berdepan Covid-19 melalui pelbagai inisiatif bagi menangani impak penularan virus.

“Semua ini tidak mampu dilakukan jika negeri tidak ditadbir atau diurus dengan baik,” katanya berucap pada Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma semalam.

Amirudin berkata Selangor juga pertama menyalur peruntukan bagi melaksanakan Saringan Komuniti berskala besar ke kawasan bersasar untuk mengesan kemungkinan jangkitan selain kaedah pandu lalu.

“Selangor turut memperkenalkan Aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi menjejak kontak Covid-19 yang juga dimanfaatkan negeri lain,” katanya lagi.

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa pertama berjumlah RM127.8 juta dibentangkan pada 20 Mac lalu disusuli pakej kedua pada 1 April berjumlah RM272.5 juta.

Pada 13 Julai lalu, Amirudin mengumumkan pelan pemulihan ekonomi berasaskan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan. Keseluruhan nilai ekonomi rancangan tersebut adalah RM55.85 bilion.


Pengarang :