Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau keadaan lembu korban dan kandang sebelum diedarkan kepada 425 masjid seluruh Selangor sempena Aidiladha tahun ini di Ladang HMA Kasturi Sdn Bhd, Rawang pada 19 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

SOP ketat, ibadah korban tetap dilaksanakan – MB

SHAH ALAM, 29 JULAI: Umat Islam di negara ini masih berpeluang melaksanakan ibadah korban walaupun berdepan tatacara operasi piawai (SOP) ketat ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, kata Dato’ Menteri Besar.

“Alhamdulillah ibadah korban tetap dapat dijalankan tahun ini di bumi Malaysia. Dapatlah kita menyantuni mereka kurang bernasib baik dan berkongsi kegembiraan bersama di hari kebesaran umat Muhammad ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan Aidiladha hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengajak umat Islam bersama-sama ‘berkorban’ menahan lapar dan dahaga dengan menjalani ibadah puasa esok sempena Hari Arafah sebagai simbolik rasa kerinduan pada tanah suci, Mekah dan Madinah.

“Akhir sekali, saya mengucapkan selamat Aidiladha buat semua warga Selangor. Izinkan saya menzahirkan sekali lagi rasa terima kasih yang tak terhingga kepada petugas barisan hadapan atas pengorbanan mereka semenjak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan sehingga kini,” katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan SOP Aidiladha diperketatkan iaitu haiwan korban tidak boleh melebihi 10 ekor manakala bilangan kehadiran terhad kepada 20 orang untuk setiap ekor haiwan.

Pada masa sama, jamuan di rumah sempena hari raya korban terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa dan individu yang masih dalam proses kuarantin pula dilarang keluar rumah mahupun menunaikan solat sunat Aidiladha.


Pengarang :