Selangorkini
Keadaan jalan raya yang mendap seluas kira-kira 30 meter persegi berlaku di Jalan Klang-Banting berhampiran lampu isyarat Kampung Johan Setia menghala ke Banting yang dipercayai akibat kerja-kerja menanam cerucuk bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3). Mendapan itu dikesan berlaku kira-kira 3 petang. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah mendap, Jalan Klang – Banting berhampiran Johan Setia ditutup

SHAH ALAM, 20 JULAI: Jalan Klang-Banting berhampiran Johan Setia ditutup ekoran kejadian tanah mendap dipercayai akibat kerja-kerja menanam cerucuk bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisoner Shamsul Amar Ramli berkata mendapan itu dikesan berlaku kira-kira 3 petang di persimpangan lampu isyarat Kampung Johan Setia menghala ke Banting. Pada awal kejadian, polis membuka lorong kontra bagi kegunaan kenderaan yang menghala ke arah Banting.

“Bagaimanapun selepas beberapa jam, mendapan turut dikesan berlaku di laluan kontra berkenaan dan kini lorong bagi kedua-dua arah ditutup sepenuhnya.

“Pengguna bagi laluan tersebut dilencongkan ke arah Jalan Bayu Emas dan ke Lebuhraya Shah Alam atas faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, insiden itu juga menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.

Tambah Shamsul Amar, Jabatan Kerja Raya dan MRCB George Kent (MRCBGK) selaku kontraktor projek berkenaan sedang menyiasat kejadian itu dan pengguna laluan berkenaan diminta mematuhi arahan polis demi kelancaran lalu lintas.

Sementara itu, MRCBGK dalam kenyataan memaklumkan arahan berhenti kerja (SWO) telah dikeluarkan kepada kontraktor pakej kerja (WPC), SN Akmida Sdn Bhd yang melakukan aktiviti pengorekan.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dimaklumkan dengan segera. Tiada laporan kemalangan jiwa dan kawasan yang terjejas telah ditutup,” menurut kenyataan itu.

MRCBGK menambah, bagi melindungi keselamatan awam, WPC telah memberi taklimat kepada penduduk Kampung Johan Setia yang tinggal berhampiran kawasan itu dan melaksanakan segera Pelan Pengurusan Trafik (TMP) untuk menutup jalan terjejas dan melencongkan lalu lintas sehingga diberitahu kelak.

“Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada orang ramai atas kesulitan yang timbul buat masa ini,” menurut MRCBGK.

– BERNAMA


Pengarang :