AGENDAEKONOMINASIONAL

Cukai pengosongan jejaskan lagi pasaran hartanah – MIPEAC

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Institut Ejen dan Perunding Hartanah Profesional Malaysia (MIPEAC) menyatakan bahawa ia percaya cadangan pelaksanaan cukai pengosongan tidak kena pada masanya di tengah-tengah pasaran hartanah yang lemah ketika ini kerana ia mungkin menjejaskan lagi sektor tersebut dan ekonomi.

“MIPEAC menganggap penggubalan undang-undang itu tidak efektif untuk menyelesaikan isu lebihan hartanah,” kata institut itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia juga menggesa kerajaan untuk mengkaji semula keputusan mengenakan cukai pengosongan ke atas pemaju yang gagal menjual hartanah mereka dalam jangka masa yang ditentukan bagi pelaksanaan tahun depan.

“Selain daripada unit yang tidak terjual daripada pemaju, terdapat juga faktor lain yang menyumbang kepada lebihan bekalan dalam pasaran seperti lot Bumiputera yang tidak dilancarkan, rumah kos rendah di lokasi yang tidak menarik dan rumah PR1MA,” kata institut itu.

MIPEAC berkata kaji selidik yang sewajarnya perlu mempunyai penerangan terperinci mengenai pengedaran dan punca-punca lebihan unit di Malaysia.

Ia berkata menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) nilai hartanah tidak terjual berjumlah RM42 bilion (55,999 unit) dalam suku pertama 2020.

Daripada jumlah ini, RM19 bilion ialah unit kediaman, RM15 bilion pangsapuri berperkhidmatan, RM5 bilion kedai, RM1 bilion unit pejabat kecil, pejabat rumah (SOHO) dan RM2 bilion hartanah perindustrian.

“Data NAPIC menunjukkan bahawa walaupun rakyat Malaysia memerlukan rumah berharga mampu milik, sebahagian besarnya termasuk unit kos rendah terletak di kawasan yang tidak sesuai yang jauh dan sukar di akses.

“Pemaju yang tidak dapat menjual hartanah mereka telahpun terpaksa menanggung faedah serta kos pegangan dan bebanan kewangan daripada stok tidak terjual telahpun menjadi satu bentuk ‘penalti’ kepada pemaju yang membuat keputusan salah dalam simpanan tanah, harga atau tawaran produk,” kata institut itu.

Selain itu, katanya, cukai pengosongan juga boleh menyebabkan harga keseluruhan hartanah jatuh yang pada peringkat permulaannya akan menjejaskan pasaran primer dan kemudiannya pasaran sekunder.

-BERNAMA


Pengarang :