Orang ramai mematuhi penjarakan fizikal semasa berada di sebuah restoran di sekitar Teluk Kumbar yang dikaitkan dengan kluster Tawar pada 16 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: KKM giat kesan kontak rapat Kluster Tawar

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempergiatkan aktiviti pengesanan kontak rapat Kluster Tawar susulan pertambahan tiga kes baharu, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya dengan kerjasama agensi lain turut mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di kawasan wabak selepas bilangan positif kluster tersebut mencecah 73 kes.

“Setakat hari ini juga seramai 4,051 disaring iaitu di Kedah seramai 3,514), Pulau Pinang (526) dan Perak (11). Hasil saringan kita berjaya mengesan 62 kes positif di Kedah, 11 kes di Pulau Pinang manakala saringan di Perak mendapati semua negatif.

“KKM ketika ini memberi tumpuan di Kedah kerana sebanyak 80 peratus kes positif Kluster Tawar dikesan di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Malaysia merekodkan sebanyak enam kes baharu Covid-19 hari ini melibatkan lima kes tempatan dan satu kes import.

Semua kes tempatan berlaku di Kedah iaitu tiga kes melibatkan Kluster Tawar serta masing-masing satu kes saringan bergejala dan jangkitan pernafasan akut teruk di Hospital Sultanah Bahiyah.


Pengarang :