Selangorkini
AGENDA NASIONAL

ERC kemuka 49 syor reformasi pilihan raya

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mengemukakan 49 syor reformasi pilihan raya dalam laporannya yang diserahkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pengerusi ERC Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata Muhyiddin ketika menerima laporan ERC itu di pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen memberi jaminan untuk meneliti dan mengkaji kesemua syor yang dikemukakan.

“ERC tidak menetapkan sebarang tempoh untuk kerajaan melaksana syor-syor yang dikemukakan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Namun daripada kesemua syor berkenaan, katanya 32 syor dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun jika diluluskan kerajaan manakala selebihnya mengambil masa antara lima dan 10 tahun.

Beliau berkata antara syor yang dikemukakan adalah pengasingan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada SPR, dengan ia diasingkan kepada tiga badan.

Ab Rashid berkata SPR akan kekal sebagai badan utama menguatkuasakan undang-undang pilihan raya; sekretariat pilihan raya akan menjalankan proses pilihan raya; manakala Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) pula akan melaksana urusan khas persempadanan pilihan raya.

Syor lain dalam laporan ERC itu adalah penetapan tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri enam bulan sebelum tarikh sebenar; penetapan dasar seorang calon hanya boleh bertanding bagi satu kerusi dan memastikan keseimbangan pemilih dengan memperkenalkan kategori dan kriteria bagi bahagian pilihan raya.

ERC ditubuhkan pada Ogos 2018 untuk mengkaji setiap aspek berkaitan dengan sistem, proses serta undang-undang pilihan raya sedia ada agar dapat ditingkatkan setaraf dengan amalan demokrasi maju di peringkat antarabangsa.

-BERNAMA


Pengarang :