Ir Izham Hashim (empat dari kiri) melawat Jeti Terapung di Pengkalan Jeti Kampung Asahan, Bestari Jaya pada 30 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: RM400,000 labuh tukun tiruan, tingkat hasil nelayan

KUALA SELANGOR, 30 OGOS: Sejumlah RM400,000 diperuntuk untuk melabuhkan tukun tiruan sepanjang perairan Selangor bagi meningkatkan hasil nelayan.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata projek inisiatif Kerajaan Negeri itu menyediakan tempat pembiakan ikan serta menghalang penggunaan pukat tunda.

“Kita sentiasa memberi tumpuan meningkatkan hasil ikan dan bantu nelayan sama ada di sungai atau pinggir laut. Kita juga mempertimbangkan pembinaan jeti baharu mengikut keperluan bagi merancakkan industri perikanan,” katanya selepas merasmikan Pangkalan Jeti Terapung Batu 8, Kampung Asahan hari ini.

Beliau berkata nelayan di negeri ini turut menikmati baucar petrol RM300 di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin bagi mengharungi tempoh sukar susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Segala usaha dan insiatif membuktikan Kerajaan Negeri mengambil berat golongan nelayan dan usaha meringankan beban mereka dilakukan dari semasa ke semasa,” kata Ir Izham.

Sebanyak RM240,300 diperuntuk bagi membantu 801 nelayan mendapat baucar petrol yang boleh dituntut di stesen minyak Petronas dan Shell.


Pengarang :