Pemandangan Jeti Terapung di Pengkalan Jeti Kampung Asahan, Bestari Jaya pada 30 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Hari Sungai serentak 25 lokasi 26 September, sedarkan masyarakat

KUALA SELANGOR, 31 OGOS: Selangor bakal menyambut Hari Sungai Sedunia di 25 lokasi secara serentak pada 26 September ini, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata sambutan tersebut selaras inisiatif Friends of River (FoR) bagi mengatasi isu pencemaran serta menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan sungai kepada kehidupan seharian.

“Sungai merupakan sumber bekalan air kepada manusia tetapi masih ramai terus melakukan pencemaran tanpa timbul perasaan bimbang sekiranya sungai tidak lagi boleh bekalkan air kepada kita.

“Sempena sambutan tahun ini, FoR akan diwujudkan bagi pemeliharaan dan pemuliharaan melibatkan pemimpin serta komuniti setempat,” katanya selepas merasmikan Pangkalan Jeti Terapung Batu 8, Kampung Asahan semalam.

Beliau berkata semua inisiatif tersebut memerlukan pembabitan semua pihak berkepentingan dan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata.

“Sumber air rakyat Selangor buat masa ini dibekalkan daripada Sungai Selangor dan Sungai Langat tetapi dalam masa sama kualiti air Sungai Klang berjaya ditingkatkan,” katanya.

Mengikut Landasan Lumayan Sdn Bhd yang melaksanakan projek Gerbang Maritim Selangor melibatkan pembersihan, pemulihan dan pembangunan Sungai Klang, jumlah sampah Sungai Klang dikutip setiap hari antara 35 tan (paling banyak) hingga tujuh tan (paling sedikit).


Pengarang :