Bilal Surau Al-Jannah Jafrey Bol, 55, mengunci pintu pagar selepas Jabatan Agama Islam Selangor mengeluarkan notis penutupan surau itu pada 7 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais terus pantau pematuhan SOP elak masjid, surau ditutup

SHAH ALAM, 9 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terus memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di peringkat masjid dan surau bagi mengelak penularan Covid-19.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata Jawatankuasa Khas Pemantauan Pematuhan Masjid Surau peringkat negeri akan membuat ketetapan selanjutnya selepas Surau Al Jannah di Seksyen 23 diarahkan tutup serta merta pada 7 Ogos lalu.

“Beberapa penemuan dalam pemantauan akan dibincangkan dalam jawatankuasa khas untuk diperhalusi.

“Tindakan yang sesuai akan diambil berdasarkan jenis dan bentuk perlanggaran kod ketatapan SOP serta perkembangan semasa penularan di Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata Jais menekankan pematuhan SOP ketika solat berjemaah di masjid dan surau kerana bimbang rumah ibadat itu ditutup jika berlaku penularan wabak terutama membabitkan individu tidak bergejala.

“Kes di Seksyen 23 Shah Alam boleh sahaja berlaku di mana-mana namun jika SOP Jais dikuatkuasakan oleh pentadbir dan jemaah berdisiplin, kesan penularan dapat dikurangkan peratusan yang tinggi dan kawalan penularan lanjut dapat dibuat dengan efisyen.

“Tiada siapapun yang mahu jadi pembawa atau dijangkiti, tetapi cabaran besar kita adalah pembawa yang tidak bergejala. Tiada ikhtiar lain, kecuali ikut SOP ditetapkan,” katanya.

Terdahulu Surau Al Jannah diarah tutup selepas seorang jemaahnya dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 dari kluster Sivagangga.

Mohd Shahzihan menambah, operasi nyahkuman sudah dibuat di surau berkenaan hari ini dan tempoh penutupan bergantung kepada keputusan saringan.


Pengarang :